Kuala Lumpur2 Jun 2021 – Kami mengalu-alukan usaha mempercepat vaksinasi oleh pihak kerajaan, tetapi memerlukan satu strategi yang lebih jelas daripada kepimpinan negara di kala Malaysia akan mengharungi satu lagi perintah sekatan pergerakan. Defisit kepercayaan rakyat yang semakin meningkat terhadap pengurusan wabak menjurus ke arah ancaman terhadap kestabilan, satu situasi yang memberikan petanda tidak baik kepada masa hadapan ekonomi negara ini. Sistem penjagaan kesihatan awam berada pada tahap kritikal dengan peningkatan kes COVID-19 yang membimbangkan, serta petugas barisan hadapan yang menanggung beban kerja berlebihan menghampiri kepenatan melampau. Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bercanggah dan separuh masak sepanjang setahun yang lalu menyebabkan krisis ini berpanjangan dan bertambah teruk. Sebahagian daripada rakyat melanggar tatacara pengendalian piawai (SOP), meletakkan nyawa orang lain dalam risiko – sebahagiannya berpunca daripada mesej yang mengelirukan serta bercanggah daripada para pemimpin. Kedua-dua pihak, iaitu rakyat dan pemimpin, mulai sekarang harus melakukan dengan lebih baik demi kemandirian dan masa hadapan negara.

Kerajaan telah mengisytiharkan Perintah Darurat pada 12 Januari dengan tujuan mengekang wabak, namun jumlah kes harian terus meningkat hingga mencapai rekod tertinggi. Walaupun mengakui kemajuan yang dicapai oleh Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sehingga kini dan usaha gigih para petugas barisan hadapan penjagaan kesihatan negara, kami ingin menegaskan bahawa usaha yang lebih jitu perlu dilakukan sekarang. Pihak kerajaan perlu bersedia dengan satu perancangan tindakan menyeluruh dan strategi keluar yang jelas dalam melawan wabak ini. Khususnya, kami menyeru pihak kerajaan untuk:

  1. Mempunyai satu strategi jelas dalam pengurusan wabak jangka panjang berserta kejelasan dalam komunikasi

Amat penting untuk diperhatikan bahawa satu strategi sekatan pergerakan bukan satu-satunya penyelesaian dalam menangani wabak. Strategi ini hanya merupakan satu strategi awal untuk memberi masa dan ruang kepada perkhidmatan kesihatan merancang dan memperluas sumber serta perkhidmatan mereka. Hal ini harus dilakukan bersama ujian besar-besaran secara kerap di seluruh negara, serta satu sistem pengesanan kontak yang sistematik.

Tiga fasa sekatan pergerakan itu perlu menyeluruh dan tepat dalam menentukan keparahan wabak. Kami mencadangkan agar diperkenalkan satu indeks keparahan COVID-19 yang mudah difahami dan langkah-langkah keselamatan awam yang diperlukan. Apabila indeks keparahan ini berubah sama ada meningkat atau menurun bergantung kepada tahap keparahan, sekatan yang menyusul boleh diketatkan atau dilonggarkan mengikut keadaan. Pendekatan yang lebih sistematik ini bermaksud keputusan yang diambil adalah berpandukan data, bebas, dan tidak dilakukan sewenang-wenangnya. Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pertahanan (MINDEF), dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) boleh bekerjasama dengan badan-badan pemikir untuk membangunkan sistem ini.

Tambahan pula, kerangka kerja untuk ketiga-tiga fasa ini perlu mengandungi satu komponen komunikasi demi menyampaikan alasan di sebalik pelaksanaan fasa-fasa PKP dan kesannya terhadap masyarakat awam. Komunikasi yang telus dan jelas akan memberikan jaminan dan mempromosi daya tahan dalam kalangan rakyat. 

  1. Berbelanja sekarang untuk menamatkan krisis dan mempunyai satu perancangan fiskal jangka panjang demi menjayakan hal ini

Langkah-langkah sekatan pergerakan hanya akan berkesan jika disertakan bersama strategi sosial dan ekonomi yang menyeluruh. Kami mengalu-alukan pakej terbaharu, PEMERKASA+ bernilai RM40 bilion yang baru diumumkan. Namun, langkah-langkah ini bersifat reaktif kepada peristiwa, dan tidak dapat memberikan respons menyeluruh terhadap krisis ini. Peningkatan perbelanjaan kerajaan perlu disekalikan dengan satu perancangan fiskal jangka panjang. Kami menyokong pertambahan pinjaman kerajaan agar dapat membiayai perancangan sebegini.  

  1. Mencipta satu lonjakan menegak dalam pemvaksinan

Kami mengalu-alukan usaha mempercepat proses pemvaksinan dan mewujudkan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) supaya dapat memanfaatkan klinik dan hospital swasta, walaupun begitu kami menyeru agar berlaku peningkatan sehingga 300,000 dos sasaran setiap hari. Pihak kerajaan mesti memanfaatkan semua PPV sedia ada, bukan sahaja PPV berskala mega. Kerajaan juga perlu menjalankan aktiviti khidmat masyarakat secara aktif bukan sahaja kepada rakyat malah kepada semua penduduk Malaysia, tanpa mengira status undang-undang mereka supaya berlaku penerimaan secara massa. Namun, kami memberi amaran terhadap apa-apa bentuk kronisme dalam pemilihan syarikat yang memberikan perkhidmatan pemvaksinan. Keuntungan melampau yang diperoleh daripada pemvaksinan yang sudah dibayar menggunakan dana awam perlu dicegah.

Terdapat juga kejadian individu tidak menghadiri janji temu vaksin. Demi mengelakkan pembaziran, satu ‘sistem senarai siap sedia’ perlu diwujudkan untuk proses pemvaksinan, iaitu diuruskan sendiri oleh PPV supaya individu berkenaan dapat dipanggil dalam masa yang singkat. Satu senarai menunggu rasmi PICK perlu dipatuhi tanpa ada potong barisan. 

Peruntukan lain untuk maklumat vaksin serta pendidikan awam supaya dapat menggalakkan pendaftaran perlu dijalankan pada pelbagai platform dan tidak hanya terhad kepada MySejahtera. Hal ini merangkumi pemimpin masyarakat dan agama, melalui e-mel, sistem pesanan ringkas, dan panggilan telefon kepada rakyat Malaysia di seluruh negara dengan penglibatan Telekom Malaysia.

  1. Pelaksanaan dan koordinasi kerajaan yang lebih jelas 

Terdapat satu persepsi masyarakat awam yang kuat bahawa wujud koordinasi terhad antara kementerian dan agensi yang terlibat dalam menangani wabak disebabkan tahap PKP dan SOP berkaitan yang sentiasa berubah. Pihak kerajaan perlu melaksanakan peraturan secara konsisten dan adil tanpa dilihat memilih kasih agar dapat membantu rakyat memahami perubahan sikap yang diperlukan supaya dapat mengalahkan wabak ini. 

Kerajaan perlu menunjukkan satu gerakan yang bersatu dan dikoordinasi dengan baik untuk menerapkan kepercayaan dalam kalangan rakyat bahawa kerajaan akan menjaga kesejahteraan mereka. Penjelasan yang telus perlu diberikan tentang mana-mana kementerian yang bertanggungjawab terhadap apa-apa keputusan, dan juga tanggungjawab kepada kementerian lain untuk menyokong rancangan kerajaan. Kerajaan Persekutuan juga perlu memastikan dialog dengan kerajaan negeri berlaku secara berkala. Hal ini bukan sahaja menunjukkan tanggungjawab, bahkan memaklumkan masyarakat awam bahawa setiap apa-apa keputusan yang dilakukan telah diteliti daripada segenap sudut. Apabila kerajaan memastikan kejelasan dan ketelusan, akan kurang berlaku kekeliruan dan ketidaktentuan dalam kalangan rakyat.

  1. Parlimen kembali bersidang segera, sama ada secara fizikal mahupun secara maya 

Kami mengulangi seruan yang dibuat oleh organisasi masyarakat sivil dan pemimpin politik bahawa Parlimen harus segera kembali bersidang; kami percaya hal ini amat berasas daripada sudut pandang Perlembagaan. Yang Di-Pertuan Agong pada bulan Februari tahun ini telah menyatakan bahawa Parlimen akan dibenarkan kembali bersidang ketika tempoh darurat. Malah, hampir semua ahli Parlimen telah menerima suntikan vaksin oleh itu kami tidak nampak apa-apa alasan Parlimen tidak boleh kembali bersidang secara fizikal dengan mematuhi prosedur yang betul. Persidangan semula Parlimen akan memberi peluang kepada para pemimpin negara untuk mengenepikan perbezaan politik mereka agar dapat menangani krisis kesihatan awam yang paling penting dihadapi negara dalam beberapa dekad belakangan ini.

Lebih cepat satu strategi dengan pelbagai pendekatan dilaksanakan, iaitu untuk menangani isu komunikasi kerajaan yang jelas, pengurusan wabak yang berkesan, koordinasi antara kementerian kerajaan serta antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, dan juga pengurusan pemvaksinan yang pantas, maka akan lebih cepat Malaysia kembali kepada urusan pemulihan ekonomi.

Kami juga menyeru kepada sekalian rakyat untuk membantu kerajaan dalam usaha mengekang wabak dengan cara melaksanakan ‘sekatan pergerakan kendiri’ dan mendaftar untuk suntikan vaksin. Beban tanggungjawab pemulihan negara ini bukan hanya berada di atas bahu para pemimpin, malahan setiap seorang daripada kita.

Disokong oleh:

  1. Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) – Pemula
  2. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
  3. Asian Strategy and Leadership Institute (ASLI)
  4. Bait Al-Amanah
  5. CARI ASEAN Research and Advocacy
  6. Center for Market Education (CME)
  7. Centre for Governance and Political Studies (Cent-GPS) 
  8. Centre for Public Policy Studies (CPPS)
  9. G25 Malaysia
  10. Galen Centre for Health and Social Policy
  11. IMAN Research
  12. Institute for Leadership and Development Studies (LEAD)
  13. Institut Nyala 
  14. Institute for Research and Development of Policy (IRDP)
  15. Institute of Strategic Analysis & Policy Research (INSAP)
  16. Institute of Electoral Studies & Advancement of Democracy (IESAD) Universiti Selangor
  17. Institut Darul Ehsan (IDE)
  18. Malaysian Health Coalition (MHC) 
  19. Penang Institute
  20. Research for Social Advancement (REFSA)
  21. Social & Economic Research Initiative (SERI)
  22. WISDOM Foundation