Kuala Lumpur, 02 April 2021 – Perlaksanaan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu (Pindaan) 2021 yang diluluskan pada 31 Mac 2021 memberi kuasa kepada Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri meluluskan apa-apa perbelanjaan tambahan atau pengeluaran daripada Kumpulan Wang Disatukan tanpa melalui badan legislatif Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Sekiranya ordinan ini diteruskan, rakyat tidak tahu bagaimana wang negara akan dibelanjakan. Setakat ini kerajaan telah membuat pinjaman baharu sebanyak RM54.5 bilion. Dikhuatiri dengan ordinan baharu ini, hutang kerajaan mungkin akan lebih tinggi berbanding angka RM975.4 bilion. Keadaan ini tidak mustahil akan memburukkan lagi persepsi oleh pelabur asing terhadap kemampanan ekonomi negara setelah melihat penurunan pelaburan asing sebanyak 56% pada tahun 2020.

Justeru, Parlimen perlu dipanggil bersidang sebagaimana negara-negara lain seperti Filipina, United Kingdom dan Greece yang tetap bersidang melalui sidang parlimen secara “hybrid” agar proses semak imbang tetap berjalan meskipun dalam keadaan kes Covid-19 yang berlarutan. Tambahan lagi, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah menzahirkan pandangan baginda bahawa Parlimen boleh bersidang sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa.

Institute for Research and Development of Policy (IRDP)

02 April 2021

www.irdp.my