Isu Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) kembali menjadi topik perbualan sejak perancangannya pada 2012. RCEP adalah Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) di rantau Asia-Pasifik membabitkan 10 negara anggota ASEAN iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand, dan Vietnam) dan lima negara lain – Australia, China, Jepun, New Zealand dan Korea Selatan.

Semua negara ini sudah mempunyai FTA bersama ASEAN. Perjanjian ini berpotensi untuk mewujudkan sebuah blok perdagangan terbesar dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 29 peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global dan mewakili 47 peratus populasi dunia.

Ini akan meletakkan RCEP setanding dengan blok perdagangan sedia ada seperti Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) dan berkemungkinan menjadi lebih signifikan berbanding Kesatuan Eropah (EU).

Namun begitu, permasalahan timbul apabila India menarik diri daripada perjanjian itu. India adalah negara yang dijangka berkembang pesat dalam masa 20 tahun akan datang serta pemain besar dalam ekonomi serantau dengan populasi kedua terbesar di dunia (1.3 bilion).

Walaupun konflik ini tidak akan membawa kepada kegagalan RCEP, ia tetap akan mengurangkan potensi blok. Antara kebimbangan India terhadap perjanjian RCEP adalah disebabkan kemampuan China dalam menghasilkan lambakan produk murah akan menjejaskan perusahaan kecil dan sederhana negara terbabit dalam aspek kemampuan bersaing terutamanya dalam bidang pertanian.

Ia juga boleh menjadi kerisauan buat Malaysia memandangkan blok RCEP ini membabitkan negara daripada pelbagai tahap pembangunan ekonomi. Situasi ini membuka ruang kepada gejala neokolonialisme apabila kuasa besar mampu mengeksploitasi negara yang lebih kecil dan seterusnya memperoleh manfaat lebih besar dari negara-negara lain.

Dalam isu ini, Malaysia boleh menjadi antara negara yang akan menerima kurang manfaat dari negara lain. Berdasarkan KDNK negara terbabit, Malaysia terletak pada kedudukan rendah (AS$354 bilion) berbanding China (AS$13.6 trilion) berdasarkan laporan Bank Dunia.

Melalui pembabitan Malaysia dalam perjanjian ini, kedudukan Malaysia sebagai negara berkecuali dalam Perang Dagang antara China dan Amerika Syarikat akan terjejas. Oleh itu, dengan menyertai RCEP akan memberi isyarat kepada dunia bahawa Malaysia berpihak kepada China seterusnya berpotensi untuk mengeruhkan hubungan dengan Amerika Syarikat.

Meskipun dengan kewujudan risiko itu, Malaysia masih boleh menikmati manfaat seperti menarik pelaburan besar yang amat diperlukan dalam suasana ekonomi yang tidak menentu hari ini disebabkan faktor global dan serantau.

Keadaan ekonomi Malaysia dilihat kurang stabil berdasarkan tren turun dan naik pelaburan asing yang dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan Negara. Lebih merunsingkan lagi, wujud sentimen yang dimainkan berkaitan keputusan Khazanah Nasional untuk mencairkan pelaburan sedia ada yang berpotensi untuk menghakis keyakinan komuniti sedunia terhadap ekonomi Malaysia.

Justeru, menandatangani RCEP boleh menjadi suatu simbolik bahawa Malaysia yakin akan keupayaan negara sendiri dan secara tidak langsung menepis sentimen negatif yang dimainkan sebelum ini.

Selain itu, RCEP dilihat mampu untuk meningkatkan kerjasama antara negara-negara ASEAN melalui pengwujudan blok ekonomi baharu. Ini membolehkan ASEAN untuk mengurangkan kebergantungan ke atas blok ekonomi besar lain, terutamanya dalam urusan import dan eksport.

Tambahan pula, penyertaan lima negara ekonomi besar seperti Australia dan Jepun akan mewujudkan peluang pasaran lebih luas. Sebagai contoh, perniagaan kecil akan mampu memperoleh akses kepada pasaran kompetitif yang peluangnya terhad sebelum ini.

Ia juga membuka ruang untuk perkongsian ilmu dari negara maju, terutamanya dalam era teknologi. Seperti yang kita tahu, Jepun sudah melangkaui Revolusi Industri 4.0 dan Malaysia boleh mengambil aspirasi daripada kemajuan itu melalui hubungan dagangan yang aktif.

Malaysia sebagai negara anggota semestinya akan dapat menikmati momentum yang dimiliki blok berkenaan. Namun begitu, sebagai salah satu negara membangun dalam RCEP, Malaysia haruslah berwaspada supaya tidak terdedah kepada situasi di mana ‘gajah lawan gajah, pelanduk mati di tengah-tengah’ dalam hubungan geopolitik antarabangsa.

Lebih utama lagi, sebagai langkah ke hadapan, butiran perjanjian perdagangan bebas ini perlulah diperhalusi dengan lebih teliti agar setiap impak, baik langsung mahupun tidak langsung dikenal pasti dan kerajaan perlu bersedia dengan langkah yang mapan untuk menanganinya dengan lebih proaktif.

Penulis adalah Penyelidik di Institut Kajian & Pembangunan Polisi (IRDP)