|

Baca liputan Astro Awani Di Sini

Kuala Lumpur, 14 Mac 2021 – Institute for Research and Development of Policy (IRDP) memandang serius kenyataan yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertua Dewan Negara (YPDN), Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, bahawa Undi 18 tidak akan dilaksanakan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Kenyataan yang datang daripada YPDN sendiri, iaitu antara institusi paling utama dalam sistem demokrasi negara ini amat mengecewakan tatkala rakyat Malaysia khususnya orang muda  menanti-nantikan penglibatan mereka secara langsung dalam proses pilihan raya melalui pindaan Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 16 Julai 2019 dengan lebih ⅔ majoriti iaitu dengan undian sebanyak 211 Ahli Dewan Rakyat dan seterusnya diluluskan di Dewan Negara pada 25 Julai 2019 dengan sokongan lebih ⅔ majoriti iaitu 47 daripada 68 Ahli Dewan Negara. 

Kenyataan oleh YPDN tersebut kelihatan janggal apabila Undi 18 telah melalui proses penggubalan undang-undang secara sempurna oleh Majlis Parlimen dan setelah mendapat perkenanan Yang Di-Pertuan Agong yang mana telah diwartakan pada 4 September 2019. 

Pendirian YPDN tersebut mencerminkan komitmen rapuh kerajaan Perikatan Nasional dalam memastikan amalan demokrasi negara kita terus kukuh. Ianya juga seolah-olah menafikan undian Ahli-ahli Yang Berhormat dan Senator yang telah mengambil bahagian dalam sistem demokrasi berparlimen ini.

Kegagalan pihak kerajaan melaksanakan peruntukan Perlembagaan Persekutuan tersebut akan menafikan hak 1.8 juta orang golongan muda yang berumur 18-20 tahun pada tahun 2021 untuk mengundi pada PRU15. Ketidaksungguhan kerajaan hari ini dalam merealisasikan agenda ini sekaligus mematikan semangat anak muda.

Hal ini juga jelas bertentangan dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada November tahun lalu yang menjanjikan pelaksanaan usia mengundi 18 tahun selewat-lewatnya pada Julai tahun ini.

Justeru, selaras dengan prinsip Keluhuran Perlembagaan yang mesti dijunjung oleh kerajaan Malaysia, IRDP menggesa agar kerajaan Perikatan Nasional mengambil langkah segera untuk melaksanakan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun seperti yang termaktub dalam Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan seterusnya bagi membolehkan penglibatan anak muda secara langsung dalam sistem demokrasi di negara kita.

Tan Sri Dato’ Mohamad Ariff bin Md Yusof

Pengerusi, Institute for Research and Development of Policy (IRDP)