RUU Guaman Syarie 2019

1. Tengah hari semalam saya sempat menyaksikan dari fb live Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato Mujahid Yusuf membentangkan Bacaan Kedua bagi Rang Undang-undang Profesion Guaman Syarie (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2019. Ia merupakan saat-saat yang bersejarah kerana pembentangan RUU ini adalah sangat mustahak untuk menaik taraf salah satu komponen penting dalam pentadbiran dan perjalanan Undang-undang Syariah iaitu bidang guaman Syarie. Sempat juga saya menyaksikan Ahli Parlimen sama ada dari pihak kerajaan atau pembangkang membahaskan RUU ini.

2. Peraturan yang sedia ada adalah di bawah Kaedah-kaedah Syarie 1993. Setelah sekian lama, peruntukan di dalam kaedah-kaedah ini didapati tidak mencukupi bagi aspek pentadbiran dan pengawalseliaan profesion guaman syarie. Ia hanya meliputi perkara berkaitan kelayakan, penerimaan masuk dan aduan terhadap peguam syarie. Kaedah-kaedah sedia ada dilihat kurang berkesan untuk menjamin kepentingan dan kebajikan peguam syarie serta klien peguam syarie.

3. Sejak sekian lama penerimaan masuk peguam syarie di negara kita adalah di bawah seliaan Majlis Agama Islam. Bagi menjamin kelancaran pentadbiran peguam syarie, sudah sampai masanya ia ditadbir oleh mereka sendiri kerana jika dibiarkan hal ehwal ini di bawah Majlis dikhuatiri berlakunya ‘conflict of interest’. Secara tidak langsung ia juga menjadikan profesion guaman syarie setaraf dengan peguam di mahkamah sivil yang mempunyai badan pentadbiran mereka sendiri seperti Majlis Peguam.

4. RUU ini mengandungi 11 Bahagian dan 93 seksyen yang meliputi pelbagai aspek yang diperlukan seperti – (i) penubuhan Lembaga Peguam Syarie, fungsi dan kuasanya; (ii) penerimaan masuk Peguam Syarie dan Daftar Peguam Syarie; (iii) pengeluaran Sijil Amalan Tahunan; (iv) Hak dan keistimewaan Peguam Syarie; (v) nama firma Peguam Syarie; (vi) Badan Peguam Syarie, Majlis Peguam Syarie fungsi dan kuasanya; (vii) Amalan, Kelakuan, tatatertib dan etika Peguam Syarie; (viii) prosiding tatatertib terhadap Peguam Syarie; (ix) kumpulan wang tatertib; dan (x) fi, kerahsiaan dan kuasa meminda.

5. Implikasi langsung RUU apabila ia diluluskan ialah Majlis Agama Islam tidak lagi mengawal selia proses kemasukan Peguam Syarie. RUU ini juga mewujudkan empat buah badan utama dalam urusan hal ehwal peguam syarie iaitu Lembaga Kelayakan Profesion Guaman Syarie, Badan Peguam Syarie, Majlis Peguam Syarie serta Lembaga Tatatertib.

6. Lembaga Kelayakan Profesion Guaman Syarie berfungsi menentukan kelayakan masuk Peguam Syarie. Ia turut diberi kuasa untuk mengurus latihan dan pembangunan profesional Peguam Syarie.

7. Kesemua peguam syarie yang diterima masuk akan menganggotai Badan Peguam Syarie. RUU memperuntukkan bagi urusan pentadbiran Badan Peguam Syarie, sebuah Majlis Peguam Syarie akan dilantik dalam kalangan peguam syarie yang berdaftar. Ini adalah sama seperti Malaysian Bar dan Bar Council seperti yang termaktub di dalam Akta Profesion Guaman 1976.

8. Lembaga Tatatertib pula diberi kuasa oleh RUU untuk menguruskan aduan berkenaan peguam syarie. Tatacara pengurusan aduan adalah dinyatakan di dalam kaedah-kaedah pada RUU tersebut.

9. Terdapat beberapa perkara baru yang diperkenalkan di dalam RUU ini. Ini termasuklah latihan dalam kamar selama 6 bulan, keperluan memperolehi sijil amalan tahunan sebelum beramal dan kewajipan peguam syarie membuka akaun anak guam. Turut diperkenalkan ialah kewajipan mengemukakan laporan akauntan untuk memperolehi sijil amalan tahunan. Peguam syarie yang telah beramal di negeri-negeri boleh beramal di Wilayah-wilayah Persekutuan tanpa perlu menjalani latihan dalam kamar.

10. Tidak syak lagi pembentangan RUU ini ialah iltizam Kerajaan Persekutuan untuk mendaulatkan Undang-undang Syariah umumnya serta profesion guaman syarie khususnya. Syabas diucapkan kepada Dato Mujahid Yusuf serta pasukannya yang berusaha gigih untuk menyediakan RUU ini. Perlu diingat untuk melaksanakan Syariah ia tidak hanya meliputi satu juzuk seperti Undang-undang Hudud semata-mata, tetapi bagi memastikan ia dapat dilaksanakan, perkara-perkara yang berkaitan (ancillary matters) kepada pelaksanaan syariah mestilah juga ditambah baik. Sesiapa yang pernah belajar undang-undang pastinya mengetahui bahawa undang-undang tidak hanya mengandungi undang-undang substantif (substantive law) bahkan juga meliputi undang-undang tatacara (procedural law).

DR NIZAMUDDIN ALIAS

Felo Kanan, IRDP

Juga telah diterbitkan di:

Leave a Comment

Your email address will not be published.