Umur mengundi 18 tingkat penglibatan politik anak muda

Kabinet telah bersetuju untuk membentangkan usul untuk meminda had umur layak mengundi pada 4 Julai 2019 di Dewan Rakyat. Pengumuman tersebut disambut dengan pelbagai reaksi.

Umumnya, banyak pihak berpandangan langkah ini adalah baik kerana sudah tiba masanya rakyat Malaysia diberikan pendedahan dan peluang untuk terlibat dalam sistem demokrasi secara langsung lebih awal, iaitu bermula umur 18 tahun berbanding 21 tahun yang diamalkan selama ini.

Proses ini adalah satu langkah penting dalam reformasi pilihan raya yang diperjuangkan oleh Malaysia Baru, terutamanya dalam memastikan suara anak muda didengari. Tiada masa yang lebih sesuai berbanding sekarang untuk menurunkan umur layak mengundi dalam pilihan raya Malaysia.

Malahan, kita sebenarnya agak ketinggalan berbanding negara serantau seperti Thailand, Indonesia dan Filipina yang sudahpun menurunkan umur layak mengundi kepada 18 tahun.

Anak muda belum matang?

Faktor kematangan kerap menjadi persoalan sama ada patut atau tidak seseorang itu diberikan hak untuk terlibat dalam proses pemilihan kerajaan. Umur pula sering dijadikan kayu ukur bagi kematangan seseorang.

Namun begitu, kematangan adalah perkara subjektif yang bergantung pada individu itu sendiri tidak mengira faktor umur dan ia tidak patut dijadikan penentu kelayakan untuk mengundi.

Seseorang yang berumur 18 tahun ke atas sudah mula bertanggungjawab ke atas diri mereka sendiri. Antaranya, sudah layak untuk menandatangani kontrak, memiliki lesen memandu, berkahwin dan tidak lagi di bawah kuasa mahkamah juvana.

Malahan, pada umur 18 tahun ramai yang telah memasuki alam pekerjaan dan menyumbang kepada ekonomi negara. Mereka ini termasuk dalam golongan yang terkesan dengan dasar yang dijalankan oleh kerajaan.

Paling penting melalui langkah ini adalah ia menjadi bukti bahawa para pembuat dasar sememangnya serius dalam mengangkat suara anak muda. Apabila anak muda diberikan suara, mereka akan lebih berminat untuk mengambil tahu tentang isu negara.

Satu kajian di Austria melaporkan penglibatan atau minat remaja dalam politik meningkat apabila umur layak mengundi diturunkan.

Kajian yang melibatkan remaja berumur 16 hingga 17 tahun itu membuktikan bahawa kesan penglibatan politik terhadap kesedaran politik lebih besar berbanding kesan kesedaran politik terhadap penglibatan politik. Ia juga menekankan bahawa usia yang terbaik untuk memupuk kesedaran politik bermula seawal 14 tahun.

Ini menunjukkan bahawa kita tidak sepatutnya menunggu untuk remaja mendapatkan pendedahan yang cukup tentang isu politik negara untuk layak mengundi. Sebaliknya, mereka sendiri akan meneroka isu berkaitan sekiranya diberikan ruang dan hak untuk memilih dan bersuara.

Langkah persediaan

Namun begitu, beberapa langkah haruslah diambil bagi memastikan inisiatif ini mencapai matlamatnya untuk meningkatkan penglibatan golongan remaja atau belia dalam politik.

Ini memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak sama ada pihak kerajaan, parti politik mahupun masyarakat sivil.

Parti politik seperti Umno telah mengambil langkah progresif dengan menurunkan umur minimum keahlian mereka kepada 16 tahun. PAS juga membenarkan permohanan ahli seawal akil baligh tidak mengira umur. Nik Nazmi, pemimpin muda PKR turut menyuarakan pandangan beliau supaya usia keahlian parti tersebut diturunkan.

Penglibatan remaja dalam politik seharusnya dimulakan sebelum mencapai usia layak mengundi lagi supaya mereka mendapat pendedahan yang secukupnya dan mampu mencorak masa depan negara dengan baik melalui pilihan mereka.

Pendidikan politik secara formal dan tidak formal juga dapat membantu dalam memberikan informasi dan pendedahan kepada golongan remaja.

Pendidikan formal melalui usaha pihak Kementerian Pendidikan seperti memperkenalkan semula mata pelajaran Sivik merupakan satu langkah yang baik.

Kementerian Belia dan Sukan juga turut memainkan peranan melalui program “Malaysia Future Leaders School” yang dijalankan di seluruh negara.

Usaha pendidikan daripada pihak kerajaan dirangka dengan jaminan ia bebas daripada ideologi kepartian dan menumpukan kepada isu kewarganegaraan dan ketatanegaraan.

Namun, parti politik juga boleh terlibat dalam pendidikan politik secara tidak formal, terutamanya bagi mereka yang sudah menamatkan persekolahan melalui program seperti Sekolah Demokrasi anjuran DAP dan Sekolah Politik anjuran PKR.

Selain itu, sistem pilihan raya itu sendiri perlu penambahbaikan seperti pendaftaran pengundi secara automatik apabila mencapai umur layak mengundi.

Ini penting untuk membantu meningkatkan peratusan turun mengundi sewaktu pilihan raya, sekali gus memastikan setiap anggota masyarakat mendapat hak mengundi tanpa perlu melalui proses pendaftaran yang ada kalanya menyulitkan.

Pindaan had umur mengundi merupakan langkah penting dalam proses reformasi pilihan raya. Ia diharap dapat membuka pintu kepada inisiatif lain yang mampu mengangkat sistem demokrasi di Malaysia ke tahap yang lebih baik.

ZATI HANANI ZAINOL ABIDIN

Pegawai Penyelidik, IRDP

Juga telah diterbitkan di:

Leave a Comment

Your email address will not be published.