Undi 18 dan pendidikan politik

Umum mengetahui, susulan Pindaan Perlembagaan baru-baru ini, Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang bakal menyaksikan pertambahan 50% daripada 14.9 juta pengundi pada PRU-14 yang lalu. Dalam kata lain, jumlah pengundi pada PRU-15 diunjurkan akan mencecah 22.5 juta orang setelah diambilkira pertambahan pengundi 18 tahun dan pendaftaran automatik.

Sesungguhnya pertambahan golongan muda sebagai pengundi ini harus bergerak seiring dengan pendidikan politik yang meningkatkan kesedaran mereka tentang pentingnya sistem politik dalam negara bagi menjamin kelangsungan pemerintahan dan sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini. Elemen falsafah dan kepentingan politik kepada negara ini perlu menjadi tunjang utama pendidikan politik. Ia perlu bebas dari elemen politik kepartian, kempan atau penyebaran sentimen kebencian bagi meraih manfaat politik mana-mana pihak. Justeru tanggungjawab besar dan berat ini bukan sahaja harus ditanggung di bahu Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), tetapi juga semua pihak terutamanya yang berhubung secara langsung dengan golongan muda ini.

Tingkat kesedaran golongan muda

Memandangkan kebanyakan golongan muda ini adalah pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi maka program yang meningkatkan kesedaran mereka perlu diperbanyakkan. Ini termasuk penganjuran dialog, wacana atau penambahbaikan kepada silibus pengajian sedia ada.

Namun, dalam usaha mendidik golongan ini, jangan pula ada pihak seperti Pengetua, Naib Canselor dan pentadbir institusi pendidikan yang mengambil kesempatan untuk mengugut, mengancam, memberi arahan atau mempengaruhi pelajar dan golongan muda di bawah pengawasan mereka untuk mengundi pihak atau parti tertentu.

Sebagai seorang rakyat Malaysia, tidak dinafikan pentadbir institusi pendidikan di atas kapasiti individu bebas mempunyai pilihan pihak atau parti mana yang ingin mereka sokong dan undi kerana itu hak demokrasi masing-masing.

Namun, para pentadbir institusi pendidikan tidak boleh menggunakan kapasiti rasmi mereka untuk berkempen atau meraih undi serta mempengaruhi para pelajar di bawah pengawasan mereka. Tidak perlu mengarahkan atau mewajibkan mereka mengundi parti A, B atau C. Biarkan mereka sendiri menggunakan kematangan, kebebasan dan hak demokrasi masing-masing untuk menentukan calon mana yang akan mereka undi.

Pendidikan politik yang lebih luas

Apa yang perlu ditekankan oleh pentadbir institusi pendidikan kepada golongan muda tentang kepentingan politik dan mengundi di dalam pilihanraya ialah antara lain tentang sejarah penubuhan negara dan bagaimana kuasa politik yang stabil telah membantu membangunkan ekonomi negara. Terangkan asas-asas negara sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan agar timbul di dalam minda mereka semangat patriotisme dan perasaan cintakan negara.

Keterlibatan di dalam politik tidak seharusnya disempitkan skopnya kepada persoalan kepartian semata-mata tetapi ia merupakan tanggungjawab seseorang warganegara untuk kelangsungan pemerintahan dan pentadbiran negaranya. Ceritakan kepada golongan muda ini, kestabilan politik sangat penting bagi menjamin perpaduan kaum, kesejahteraan rakyat dan keamanan negara.

Jika tiada kestabilan politik, mereka tidak dapat belajar dengan baik, sistem pendidikan akan bermasalah dan sebagainya. Ini kerana, tanpa sistem politik yang baik dan teratur akan menyebabkan berlakunya kacau bilau dan tadbir urus yang bermasalah. Bukan sahaja proses pengajian mereka akan terjejas, aktiviti perniagaan dan perdagangan akan turut menerima kesan, aktiviti jenayah berleluasa dan pelbagai lagi masalah yang akan timbul yang akhirnya akan merencatkan perkembangan dan pembangunan negara.

Justeru, tidak timbul persepsi bahawa politik itu kotor dan perlu diboikot kerana politik sangat penting kepada negara. Ia mendokong falsafah yang suci yang penting kepada kemaslahatan negara dan rakyatnya. Yang kotor dan jijik bukan politik, tetapi sebilangan ahli politik yang gagal memahami falsafah politik itu sendiri. Mereka sebenarnya ingin mengambil kesempatan menggunakan politik untuk kepentingan sendiri bukannya kepentingan negara.

Peruntukan undang-undang ke atas parti politik

Selain itu, golongan muda juga harus diberi penekanan bahawa semua parti politik yang bertanding di dalam PRU adalah parti dan pertubuhan yang telah disahkan pendaftaran mereka oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS). Sebagai pertubuhan yang sah dan berdaftar di sisi undang-undang, tidak boleh mana-mana pihak, dalam memancing undi menghasut dan memomokkan Parti A, B atau C yang tidak disukainya sebagai berbahaya atau ancaman kepada negara.

Ini kerana jika sesuatu pertubuhan itu jelas memberi ancaman kepada keselamatan negara, sudah pasti sedari awal pertubuhan atau parti politik tersebut akan digantung pendaftaran atau dinyahdaftarkan seterusnya tidak dibenarkan untuk bertanding di dalam pilihanraya.

Ini bertepatan dengan Seksyen 2A Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) yang antara lain menyebut adalah menjadi kewajipan setiap pertubuhan berdaftar dalam menjalankan aktivitinya, memastikan pelaksanaan aktiviti tersebut adalah selaras dan mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan ataupun Perlembagaan-perlembagaan negeri. Sekiranya gagal, Pendaftar Pertubuhan boleh membatalkan pendaftaran pertubuhan itu selepas memberikan pertubuhan itu suatu peluang untuk memberi representasi kepadanya.

Mengambilkira peruntukan undang-undang ini, maka mana-mana parti politik yang ingin berkempen memenangkan parti mereka tidak boleh membuat tuduhan atau hasutan parti lawan mereka berbahaya kepada negara kerana jika ia benar, apa yang sepatutnya mereka lakukan ialah mengambil tindakan undang-undang bagi menyahdaftarkan pertubuhan atau parti politik berkenaan dan bukan membina persepsi yang salah atau mengadu domba ketika berkempen meraih undi.

Peranan golongan agamawan

Kepada golongan agamawan pula, didiklah anak muda ini dengan menekankan bahawa politik dan penglibatan di dalam pilihanraya itu bukan urusan duniawi semata-mata tetapi juga sebahagian dari kerangka kehidupan yang ada pertimbangan syariat di dalamnya. Ia urusan agama kerana melaluinya akan diangkat pemimpin yang akan mengatur-urus urusan kehidupan bernegara mencakupi segenap urusan kehidupan seperti ekonomi, sosial, perundangan, keselamatan, kebajikan rakyat dan sebagainya. Semua elemen ini adalah urusan agama kerana agama itu adalah cara hidup dan sifatnya syumul yang tidak terhad kepada elemen ritual seperti solat dan puasa semata-mata.

Dalam seluruh hal ehwal kehidupan, semua dipandu dan ditadbir oleh prinsip-prinsip agama termasuk politik yang ada perhitungan dosa pahala di dalamnya. Justeru, politik adalah sebahagian dari Islam dan saling berkaitan. Islam menyediakan panduan untuk berpolitik dengan baik namun ia tidak boleh dimanipulasi untuk kepentingan politik mana-mana pihak.

Selain itu, para agamawan juga perlu mendidik golongan muda bahawa meskipun politik itu adalah sebahagian dari urusan agama, namun harus dibezakan antara parti politik dan agama. Parti politik ada kekurangan manakala agama Islam itu sifatnya sempurna. Maka jangan pula ada agamawan yang terlalu ekstrim dalam memberi pemahaman politik sehingga menganggap parti A sebagai parti Allah (Hizbullah) dan parti B sebagai parti Syaitan (Hizbussyaitan) dengan didatangkan dalil untuk menjustifikasinya.

Juga jangan digunakan sentimen agama untuk menjustifikasikan mengundi parti A akan mendapat pahala dan masuk syurga manakala mengundi parti B akan dapat dosa dan masuk neraka, atau mengundi parti A hukumnya haram dan mengundi parti B hukumnya wajib dan sebagainya. Benar ada pertimbangan dosa pahala dalam urusan memilih pemimpin namun tidak ada dalil yang qatie secara jelas yang menyatakan parti tertentu wajib dipilih atau sebaliknya. Terdapat banyak perkara ijtihadiyyat dalam persoalan politik maka terpulang kepada pengundi untuk membuat pertimbangan berkaitan parti politik yang dosokongnya.

Parti politik sebagai wadah

Golongan muda juga harus dididik bahawa parti politik, walau apa pun namanya, adalah wadah atau tool untuk sampai kepada tujuan dan maqasid syariah yang digariskan oleh agama. Sebagai sebuah pertubuhan yang dikelola oleh manusia, ia tidak sunyi dari kesilapan dan kekurangan.

Seiring dengan sifat politik yang dinamik maka keputusan serta pendekatan politik yang diambil oleh parti politik juga boleh berubah-ubah mengikut perubahan zaman. Justeru, akan ada kebarangkalian parti politik melakukan kesilapan dan mempunyai kekurangan tertentu.

Maka atas asas tersebut, sokongan dan kesetiaan kepada parti politik tertentu tidak boleh bersifat muktamad tetapi boleh berubah-ubah bergantung kepada pencapaian, track record, halatuju atau pendekatan masing-masing. Kesetiaan kepada parti politik juga tidak boleh disamakan dengan pegangan akidah Islam sehingga ke tahap menganggap berpegang teguh kepada parti tertentu adalah sama dengan berpegang teguh dengan aqidah Islam manakala mengkritik atau keluar dari parti politik tersebut dianggap seperti mengkhianati atau meninggalkan Islam.

Menyuburkan budaya politik yang bersih

Seterusnya, aspek lain yang perlu ditekankan oleh semua pihak dalam memberi kesedaran dan pendidikan kepada golongan muda berkaitan politik ialah kepentingan menyuburkan politik yang bersih, berprinsip dan matang. Wacana dan dialog politik yang segar perlu diperbanyakkan untuk menambahkan kefahaman masyarakat.

Politik adu domba yang gemar menanam sentimen kebencian kepada lawan politik harus dielakkan. Politik kotor seperti ini biasanya akan dipenuhi kata-kata kesat, fitnah jahat, jatuh-menjatuh, konspirasi dan pelbagai sikap negatif lain yang tidak sepatutnya diwarisi oleh generasi akan datang. Negara kita tidak akan maju ke hadapan jika kita membiarkan politik seperti ini berleluasa walau dari pihak mana ia datang.

Tuntasnya, generasi muda yang akan menjadi pewaris negara pada masa akan datang perlu dididik dengan nilai-nilai positif dalam berpolitik seperti politik yang berasaskan hujjah dan fakta, politik yang membina minda dan keterbukaan pandangan dan yang paling utama politik yang meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan diri dan parti.

Kebebasan kepada golongan muda

Oleh itu, tidak perlulah ditunjukkan kepada golongan muda ini parti mana yang mereka perlu undi sama ada parti A, B atau C. Berikan kebebasan kepada mereka menggunakan ruang demokrasi yang ada. Jika asas, falsafah dan nilai sebenar politik difahami mereka, yakinlah mereka dengan sendirinya akan mengetahui siapa yang perlu mereka pilih sebagai pemimpin tanpa perlu sesiapa memaklumkan kepada mereka. Semoga dengan kefahaman jelas mengenai kepentingan politik ini, generasi muda kita kelak mampu mencorakkan masa depan negara dengan lebih gemilang.

DR. NISAR MOHAMMAD AHMAD

Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, USIM

Felo Kanan, IRDP

Leave a Comment

Your email address will not be published.