Kuala Lumpur, 1 Mac 2021 – Institut Kajian dan Pembangunan Polisi (IRDP) menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa Parlimen boleh bersidang semasa darurat pada tarikh yang ditetapkan kelak.

Titah Seri Paduka Baginda jelas selaras dengan Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, bahawa hanya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sahaja boleh memanggil Parlimen untuk bersidang. Baginda juga mempunyai kuasa mutlak untuk menghenti atau pun membubarkan Parlimen.

Pihak IRDP yakin dan percaya akan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda sebagai Ketua Negara untuk memulihkan kembali keyakinan rakyat terhadap sistem Demokrasi Berparlimen di Malaysia dengan cara memanggil Parlimen untuk bersidang dengan segera. Hanya dengan cara tersebut dapat kita mengembalikan doktrin pemisahan kuasa kepada tiga bahagian iaitu Perundangan, Kehakiman dan Eksekutif.

Sungguhpun negara sedang bergelut menangani pandemik Covid-19, pihak IRDP berpandangan bahawa proklamasi darurat dengan menggantung persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri telah merencatkan proses semak dan imbang terhadap badan Eksekutif bukan sahaja dalam hal ehwal kewangan negara malah dalam penentuan dan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan. Proses semak imbang oleh badan perundangan/legislatif seharusnya dilihat sebagai komponen penting untuk memastikan dasar dan strategi kerajaan berjaya dan berkesan, lebih-lebih lagi dalam situasi ancaman pandemik yang semakin meruncing.

Justeru, pihak IRDP menggesa pihak kerajaan Persekutuan dan juga kerajaan negeri untuk memanggil persidangan Parlimen dan DUN dengan seberapa segera, sesuai dengan titah oleh Seri Paduka Baginda. Hal ini penting untuk memberi ruang kepada rakyat melalui Yang Berhormat wakil rakyat masing-masing untuk menilai dan mempersoalkan kembali keberkesanan dasar-dasar yang telah dan akan dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Hal ini dapat memastikan pembinaan dan pelaksanaan dasar awam dilakukan dengan telus dan mencapai maksud yang diharapkan. Kami percaya, penglibatan semua pihak dapat membantu menyelamatkan negara Malaysia daripada lembah krisis kesihatan, ekonomi dan politik yang tidak berkesudahan.

Institut Kajian dan Pembangunan Polisi (IRDP)

1 Mac 2021

www.irdp.my