|

Isu kesihatan mental sering dijadikan sebagai bahan jenaka, sekali gus mencerminkan persepsi yang lama membarah. Ia termasuk wacana maya yang menjadi tular apabila moderatornya menjadikan isu depresi sebagai gurauan.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 mencatatkan bahawa sekurang-kurangnya 2.3% atau setengah juta orang dewasa di Malaysia mengalami masalah depresi, manakala mereka tergolong B40 dan tinggal di luar bandar lebih cenderung untuk menghidapinya.

Berdasarkan tinjauan yang dibuat oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), The Centre ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), 45% responden mempunyai ciri depresi.

Banyak aktivis kesihatan mental seperti WeCare Allied Health Centre dan Relate Malaysia yang dianggotai pakar psikologi klinikal menyatakan kebimbangan terutama apabila pengenalan PKP kali kedua yang akan mengakibatkan peningkatan isu kesihatan mental.

Ini menunjukkan kes depresi dan masalah kesihatan mental lain melonjak lewat penguatkuasaan PKP bagi mengekang pandemik COVID-19 di negara ini.

Kes bunuh diri juga mencatatkan peningkatan 20 peratus apabila 266 kes direkodkan dalam tempoh lapan bulan, iaitu antara Mac hingga Oktober tahun lalu. Kes itu boleh berlaku apabila seseorang mengalami depresi tanpa rawatan sepatutnya dalam tempoh masa yang lama.

Walaupun statistik dan data menunjukkan kes kesihatan mental memperlihatkan trend menaik semenjak dua tahun lalu, gejala ini nampaknya tidak begitu diberikan perhatian.

Peningkatan mendadak jumlah kes kesihatan mental dalam suasana keresahan pandemik COVID-19 bertambah parah dengan stigma negatif yang semakin kritikal dalam masyarakat.

Perkara ini sepatutnya sudah menjadi sebab kukuh untuk kerajaan melakukan reformasi dari sudut undang-undang dan polisi awam yang mampu menangani isu ini secara positif.

Dengan meningkatnya stigma dan persepsi negatif terhadap pesakit kesihatan mental, kerajaan perlu mengambil langkah komprehensif dalam menangani isu ini.

Pertama, nyahjenayahkan perbuatan membunuh diri seperti yang terkandung di dalam Seksyen 309 Kanun Keseksaan. Ini penting untuk membuang stigma dan memberi ruang kepada mereka yang terselamat untuk diberikan panduan sewajarnya dalam menguruskan isu tersebut.

Kedua, diskriminasi terhadap pesakit kesihatan mental perlu diwartakan sebagai suatu kesalahan di bawah undang-undang. Dalam konteks Malaysia, tiada akta khusus dalam menangani diskriminasi terhadap pesakit mental menyebabkan majikan boleh sewenang-wenangnya memberhentikan pekerja yang mempunyai masalah kesihatan mental atau menafikan kemudahan perubatan berkaitan kesihatan mental.

Contohnya di Australia, Disability Discrimination Act (DDA) 1992 melindungi pesakit mental dengan menjaga hak mereka sebagai supaya dilayan sama seperti pekerja lain dari segi privasi keadaan semasa dan hak asas sebagai pekerja.

Ini bukan sahaja membantu pesakit mental untuk dilayan secara adil, bahkan meningkatkan kesedaran supaya tidak mendiskriminasi mereka.

Ketiga, menerbitkan data terbuka berkaitan kesihatan mental. Sekarang, tiada data yang bersifat semasa. sebaliknya hanya data daripada kajian NHMS 2019.

Bagi mengetahui keadaan semasa, kita hanya mampu bergantung pada kenyataan media oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau pertanyaan di parlimen.

Ini penting kerana data yang lengkap dapat menggalakkan masyarakat dan warga sivil sama-sama membantu dalam menguruskan isu kesihatan mental dengan lebih efisien.

Perubahan polisi dan kehendak politik adalah penting dalam melindungi individu yang sengsara akibat kesihatan mental. Pada masa sama, usaha berterusan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat perlu dilakukan secara berkala oleh semua pihak.

Yusri Yusoff

Pegawai Penyelidik, Institute for Reseach & Development of Policy (IRDP)