Kuala Lumpur, 27 Mac 2021 – Institute for Research and Development of Policy (IRDP) menggesa kerajaan memberikan penjelasan mengapa pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi 18 tahun hanya boleh dilaksanakan pada September 2022.

Alasan negara menghadapi wabak COVID-19 untuk menangguhkan pelaksanaan Undi 18 adalah tidak munasabah. Ini kerana persiapan yang perlu dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah melibatkan sistem maya dan bukan pergerakan secara fizikal.

Tambahan lagi, data yang diperolehi oleh kerajaan melalui sistem MySejahtera boleh membantu SPR dalam usaha melakukan pendaftaran automatik seterusnya bagi membolehkan Undi 18 dilaksanakan.

Alasan untuk menangguhkan Undi 18 akibat negara menghadapi COVID-19 ini bukan sahaja mencerminkan ketidaksungguhan kerajaan malah, memberikan gambaran seolah-olah kerajaan tidak telus dalam isu ini.

IRDP menggesa pihak kerajaan dan SPR untuk menjelaskan perkara ini secara teknikal sekiranya benar terdapat halangan dalam usaha melaksanakan pindaan Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Tan Sri Dato’ Mohamad Ariff bin Md Yusof

Pengerusi, Institute for Research and Development of Policy (IRDP)