Syor wujud pangkalan data pesakit mental

Hari terakhir Dewan Rakyat mesyuarat kedua penggal kedua parlimen ke-14 (2019) dimulakan dengan topik berkaitan inisiatif kerajaan terhadap isu kesihatan mental rakyat Malaysia yang semakin meruncing.

Peningkatan jumlah pesakit mental dalam kalangan penduduk di negara ini berada di tahap yang membimbangkan. Saban tahun, peningkatan dicatatkan, menjadikan ia sebagai penyakit kedua tertinggi selepas penyakit jantung yang menjejaskan tahap kesihatan rakyat Malaysia menjelang tahun 2020.

Peningkatan trend masalah kesihatan mental

Laporan Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan 2015 (NHMS) menunjukkan berlaku peningkatan trend terhadap masalah kesihatan mental iaitu daripada 10.7% pada tahun 1996 kepada 29.2% pada tahun 2015.

Menurut laporan tersebut, tahap kemurungan paling tinggi dicatatkan di negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Kelantan. Kajian ini juga menunjukkan bahawa wanita dewasa yang lebih muda daripada keluarga yang berpendapatan rendah berisiko lebih tinggi untuk berhadapan masalah kesihatan mental.

Inisiatif kerajaan

Inisiatif kerajaan terhadap kualiti kesihatan mental Statistik tersebut membuka mata pelbagai pihak khususnya kerajaan yang melibatkan Kementerian Kesihatan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Sumber Manusia dalam merangka serta mewujudkan pelbagai inisiatif selaras dengan Dasar Kesihatan Mental Negara 2012.

Antaranya melalui National Strategic Action Plan for Mental Health 2019-2025 yang akan dilancarkan pada September tahun ini. Kerjasama pelbagai sektor perlu dirangka bagi membendung penyakit ini dari terus mencatatkan peningkatan, khususnya dalam kalangan belia.

Antara inisiatif lain oleh kerajaan adalah mewujudkan Akta Kesihatan Mental 2001 dan Dasar Kesihatan Mental Negara 2012. Akta dan dasar ini dirangka bagi menyediakan satu asas dalam pembentukan strategi serta menjadi hala tuju bagi kesemua yang terlibat dalam perancangan dan implementasi program kesihatan dengan tujuan untuk memperbaiki kesihatan mental dan kesejahteraan seluruh rakyat. Clinical Record Interactive System (CRIS) menjadi platform penyelidikan penyakit mental.

Clinical Record Interactive System

Bagi membolehkan statistik kesihatan mental ini terus dipetakan berdasarkan bukti dan fakta (evidence based) dalam pembuatan sesuatu keputusan, pengaplikasian pangkalan data yang lebih komprehensif melalui Clinical Record Interactive System (CRIS) akan menjadikan data bagi pesakit mental lebih relevan melalui penyelidikan yang dijalankan.

Selain dapat mengumpulkan pelbagai maklumat termasuk data seperti demografi pesakit, diagnosis, peringkat penyakit dan jenis rawatan yang diterima, ia juga mampu membantu pihak luar seperti badan-badan bukan kerajaan (NGO) menjalankan penyelidikan terhadap penyakit mental dalam membuat penilaian bagi rawatan-rawatan sedia ada sekaligus memperbaiki kaedah rawatan di peringkat seterusnya.

Ini turut akan memudahkan pihak berkepentingan seperti badan-badan penyelidik yang turut terlibat dengan polisi untuk terus mengkaji dan menambah baik melalui pelbagai kajian sekaligus menjimatkan kos terhadap suatu penyelidikan yang dijalankan.

Pangkalan data sebagai hub ruang kerjasama

Pangkalan data ini juga penting dalam membantu pemegang taruh dalam menyahut seruan kerajaan antaranya baru-baru ini berkaitan galakan terhadap pemain insurans bagi menyediakan produk atau polisi sesuai dengan trend pesakit mental di negara.

Hal ini amat penting bagi memastikan terdapat permintaan bagi suatu produk yang diperkenalkan oleh syarikat tersebut. Justeru, dengan pangkalan data tersebut, trend semasa penyakit mental khususnya dari segi diagnosis dan peringkat penyakit akan membantu pihak terbabit untuk membuat penilaian mengenai produk yang perlu disediakan mengikut kehendak pasaran.

Pada tahun 2017, Kementerian Pengangkutan mencadangkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk mewujudkan pangkalan data bagi kegunaan Jabatan Imigresen di setiap lapangan terbang di negara. Ini bukan atas dasar diskriminasi, sebaliknya bertujuan memantau dan mengenal pasti pesakit mental yang mahu menggunakan perkhidmatan tersebut sebagai langkah berjaga-jaga sekaligus memastikan keselamatan penumpang terjamin dan operasi lapangan terbang berjalan lancar.

Selain itu, data yang diperolehi daripada program PekaB40 mendapati bahawa 3 daripada 10 orang dewasa menderita masalah kesihatan mental. Kumpulan B40 ini juga mencatat kadar penyakit mental yang lebih tinggi, iaitu 32% berbanding 28% bagi kumpulan selainnya. Ada kemungkinan golongan ini menderita masalah kesihatan mental lantaran dari masalah kewangan. Justeru, ada ruang untuk pihak yang menghulurkan bantuan secara berkala seperti lembaga zakat di setiap negeri untuk membantu.

Melalui pangkalan data berpusat ini, ianya juga turut akan memudahkan pihak lembaga zakat untuk mengesan maklumat serta latar belakang pesakit-pesakit mental di suatu negeri untuk disalurkan sumbangan sekaligus mengurangkan beban hidup pesakit mental dalam menjalani kehidupan harian.

Oleh hal demikian, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan, komuniti dan badan berkaitan perlu berganding bahu dalam meningkatkan keupayaan dan kualiti perkhidmatan kesihatan mental sedia ada khususnya dari segi sistem penyampaian perkhidmatan di pelbagai peringkat di negara ini. Bagi mencapai aspirasi ini, sistem pengkalan data berpusat perlu diwujudkan segera ke arah transformasi sistem maklumat khususnya dari sudut pengurusan dan capaian data yang lebih efisien serta memenuhi kehendak pelbagai pihak pada masa akan datang.

ASMA ANUAR

Pegawai Penyelidik, IRDP

Juga telah diterbitkan di:

Leave a Comment

Your email address will not be published.